Thursday, January 29, 2009

Kaedah Penanaman Pokok Celoreng Atap. (Beackea Frutescens)

Pengenalan

Pada akhir tahun 2008, beberapa sahabat bonsai kerap bertanya dan ada yang menelefon untuk mengetahui tentang penanaman pokok tersebut dengan cara yang betul. Katanya pula kebanyakkan pokok yang mati terdiri daripada pokok yang paling cantik/paling disayangi. Itulah keluhan dikalangan sahabat bonsai di Pantai Timur dan Sarawak.

Habitat asal pokok Celoreng Atap yang terdapat di Cherating, Kuantan, Pahang.

Jin/Shari pada Celoreng Atap

Memandangkan kesungguhan/pengorbanan sahabat, lahir rasa simpati, tambahan perjuangan mereka dalam hobi yang sama dengan saya. Katanya lagi, jika dalam seminggu atau dua minggu pokok yang digali sebanyak 50 pokok, mungkin yang hidup hampir separuh sahaja atau yang mati lebih banyak daripada yang hidup.

Pokok Celoreng Atap yang telah mati

Timbunan pokok Celoreng Atap untuk dibakar.

Pada cuti persekolahan akhir tahun 2008, saya mengambil kesempatan ke Besut, Terengganu berjumpa dengan sahabat-sahabat di sana dan mengikut mereka menggali pokok celoreng atap sehari suntuk di daerah Permaisuri, Setiu, Terengganu dengan menggunakan 4x4 saya.

Perjalanan ke tempat menggali amat mencabar dan kenderaan terpaksa ditinggalkan jauh dan terpaksa berjalan kaki 2km ke tempat menggali pokok iaitu “Tasik Belibis”. Mereka mencari dan menggali pokok dengan begitu gigih dan bersemangat sekali. Bayangkan pokok yang diperoleh terpaksa dibawa pulang berjalan kaki dalam jarak 2km. Berat memikul dan penat tidak dapat dibayangkan.

Pokok yang digali pada asalnya dibungkus dengan plastik terpaksa dibuang pasir untuk mengurangkan berat, bilangan pokok yang banyak dan jauh dari tempat meletak kereta.

Pokok Celoreng Atap yang ditanam seperti biasa.

Perkara yang tidak dapat dilupakan ialah macam mana di antara satu sama lain boleh berpecah dan sesat. Masing-masing “panic” dan mencari di antara satu sama lain hampir 40 minit, bertemu semula dan berehat sekejap kerana keletihan. Mitos setempat mengatakan zaman dahulu terdapat Puteri Bunian dan burung belibis begitu banyak di Tasik ini.

Pokok Celoreng Atap yang direndam sehingga keluar akar sebelum ditanam.

Keesokkan harinya, saya pulang ke Kuantan hanya dengan 2 pokok yang mampu diperolehi sewaktu menggali semalam. Kedua-dua pokok ini mati selepas ditanam. Begitu juga dengan sahabat yang lain dan jika hidup hanya 1 atau 2 pokok sahaja.

Pokok Celoreng Atap yang ditanam di dalam pasu dan direndam di dalam tong.

Hasil dari pengalaman menggali dan membeli pokok celoreng atap di mana pokok yang senang hidup di kenal pasti apabila ditanam ialah pokok yang terdapat ditempat yang agak redup dan dipenuhi dengan tumbuhan. Kebiasaannya pokok ini berlumut dan batangnya bengkak sedikit.

Ratusan pokok Celoreng Atap di tapak semaian disalah sebuah rumah rakan.

Pokok Celoreng Atap yang dibalut bagi mengekalkan kelembapan.

Manakala pokok ditempat terang/berpasir akarnya rambutnya kurang, panjang dan mempunyai jin/shari yang banyak. Peratusan untuk hidup agak rendah apabila ditanam.

Landskap Celoreng Atap dihalaman rumah.

Sebelum ini, terdapat berbagai cara untuk menanam pokok celoreng atap:

1. Pokok yang digali berbalut plastik ditanam terus di dalam pasu dengan menggunakan pasir sungai. Pokok ditanam tidak terlalu dalam dan pasirnya tidak terlalu padat/kemas.

2. Pokok yang digali tanpa dibalut direndamkan dalam tong berisi air sehari dua dan ditanam. Ada juga pokok direndamkan semula ke dalam tong air di mana airnya hampir ke permukaan pasu. Apabila pucuk baru keluar lebih kurang ½ inci atau hampir 2 inci, keluarkan pokok tersebut dari dalam tong.

3. Pokok direndamkan di dalam tong air sehingga keluar akar dan kemudian ditanamkan di bawah cuaca yang redup/teduh. Ada juga pokok tidak keluar daun dan akar menjadi buruk/masam.

4. Kadang-kadang pokok ini diletakkan dibawah pokok dan ditimbus dengan daun, sedikit pasir dan habuk. Pokok ini disiram seperti biasa pun boleh hidup.

5. Pokok dibalut dengan lumut/kain sewaktu ditanam bagi mengekalkan kadar kelembapan/air. Hasilnya ada yang hidup dan mati.

6. Penggunaan “Mist System” @ Sistem Semburan Berkabus. Pokok direndamkan beberapa malam dan diletakkan penggalak akar. Kemudian ditanam dengan pasir sungai dan diletakkan di tempat redup dan di sokong dengan penggunaan “Mist”. Pokok disiram seperti biasa pada waktu pagi dan petang. “Mist” dibuka selepas disiram dan dibiarkan di antara pukul 8.30/9.00 pagi sehingga pukul 5.00/5.30 petang, bergantung kepada keadaan cuaca, “mist” ditutupkan pada waktu malam.

Penggunaan “Mist” pada Pokok Celoreng Atap.

Penggunaan “Mist” juga amat sesuai pada Pokok Kayu Hitam.

Penggunaan “mist”diakui baik dan sesuai oleh Pegawai Pertanian (sahabat saya) dalam penyemaian pokok celoreng atap yang baru digali. Penggunaannya pada siang hari dapat menurunkan keadaan panas di kawasan sekeliling sehingga 25 ⁰ F (±3.88 ⁰C) seterusnya mengekalkan keadaan lembab pada daun, dahan, pangkal pokok dan akarnya.

Saya telah mencuba pada beberapa pokok celoreng atap termasuk pokok kayu hitam dalam masa sebulan dan boleh dikatakan semuanya masih hidup setakat ini. Manakala pucuk pokok kayu hitam begitu segar dan berwarna hijau kemerahan. Maka saya mengesyorkan penggunaan kaedah ini kepada peminat dan penggali pokok celoreng atap.
Selamat mencuba.

T/K. Jumpa lagi.

Bonsai itu Indah.

5 comments:

Noryadi said...

Setelah boleh dikatakan setiap hari saya membuka blog NOB ini dan setelah sekian lama Ayahanda Hj Halim menyepi,akhirnya saya dpt membaca nukilan terbaru ayahanda di blog kesayangan saya ini. Bukan setakat nukilan tp ilmu sebenarnya.

Menarik sekali.

zamrizal said...
This comment has been removed by the author.
Hj. Abd. Halim Hj. Salleh said...

w'salam..
terima kasih sudi lawati blog ini.
saudara boleh lihat koleksi bonsai peribadi dalam posting lama di blog ini. insya'allah posting baru akan dimasukkan sedikit masa lagi.

madsoghe said...

assalamualaikum Tuan haji,,,
harap sudilah kiranya tuan nukilkan tulisan tentang bonsai yang terbaru?
kami sebagai peminat&penggiat bonsai sangat rindu seni/idea bonsai dari tuan haji,
saya MUHAMAD SANIMUN peminat bonsai dari ampang selangor,

Terima kasih Tuang haji..

wanahaf said...

salam, saya ni orang kg bari besar, tempat di mana kolam belibis terletak. saya selalu ke sana mencari coreng atap juga. tapi x bnyak la yg hidup. kalo en nak ke sana lg, boleh la cntct saya, insyaallah x sesat.