Sunday, November 23, 2008

Jawapan kepada pertanyaan Saudara Noryadi.

Sememangnya "Bonsai" adalah alam dan ianya subjektif juga tidak ada persamaanya. Maka alam juga sebagai reference/rujukan atau pokok disekeliling kita sebagai sifu. Allah menjadikan alam ini untuk kita. Gunakanlah ke jalan kebaikan dan jangan membinasakannya dengan tujuan yang salah sehingga membawa kepada melapetaka alam dan sebagainya.


Pokok disekeliling sebagai panduan dalam pembentukkan pokok bonsai.


Pokok yang mempunyai shape yang menarik sebagai panduan.

Bonsai juga adalah seni yang menggiurkan dengan mempunyai kecantikan tersendiri, keharmonian, kecantikan dengan ciri-ciri tersendiri dan boleh dinikmati oleh sesiapa yang melihatnya.


Sepohon pokok yang tua dan dahannya jelas kelihatan.

Pokok ini cantik tetapi dahannya tidak jelas kelihatan.

Tumbuhan disekeliling kita tumbuh dan hidup setiap hari, begitu juga bonsai, seninya tiada penghujung. Kecantikannya bertambah baik dari hari ke hari, bulan ke tahun. Seterusnya boleh ditukar bentuk dengan inspirasi baru. Pokok bonsai yang matang lebih indah, lebih tua menjadi lebih indah disebabkan masa dan usianya.

Sesetengah orang membandingkan bonsai dengan binatang peliharaan, kanak-kanak atau pasangan kekasih. Ianya memerlukan emosi yang kental di antara kita dan bonsai. Memerlukan penglibatan yang panjang/berterusan untuk membelainya seiring peningkatan usia kita dengan penjagaan yang betul. Bonsai yang indah dan berharga menjadi kebanggaan kita, kepuasan dan klimaks dalam permainan seni ini. Secara ringkas dan jika mahu lebih jelas harap datang ke rumah bawa pengeras!

“Kehidupan yang tidak teruji bukan kehidupan yang berharga bagi seseorang” – Socrates-

Mereka yang meminati bonsai seharusnya tahu ilmu bonsai:
- menguasai ilmu bonsai melalui kawan-kawan,
-buku teks, workshop,
-pameran,
-pertandingan,
-pengalaman/penghayatan masing-masing dsbnya.

Penyediaan material.

Memiliki material yang berkualiti, ada future pada kaca mata kita walaupun tidak cantik pada kaca mata orang, boleh imagine patent yang ingin dibuat, berapa tahun untuk disiapkan (matang). Adakah material ini apabila siap boleh di bawa ketengah dan ada challenging dengan bonsai yang di miliki oleh sahabat-sahabat kita dalam setiap kategori bonsai yang dipertandingkan. Daya imaginasi ini perlu ada jika kita mahu pergi lebih jauh dalam bidang ini.

Pokok yang natural.

2.1 Jika material bersaiz kecil atau sebaliknya, pemotongan batang, dahan dan akarnya mesti sepadan dengan pasu, ketinggian dan lebar apabila pokok itu siap. Jika tidak bijak membuat jangkaan ini kita akan banyak membuang masa.

2.2 Saiz pasu dan tanah mesti bersesuaian. Struktur tanah mesti baik supaya air tidak bertakung. Setidak-tidaknya 2 atau 3 tahun tanah perlu ditukarkan.

2.3 Setiap material yang kita miliki, kita mesti tahu “the style of bonsai” untuk membentuknya seperti “multiple trunk, informal upright, raft literati, wing swept , landscape, group planting dan sebagainya. Maka kita dapat mencipta/membentuk bonsai lebih bermakna, cantik serta berbangga dengan skill dan performance kita.


Penerangan Koleksi Bonsai dan bukan Masterpiece (Karya Agung)


Bebuas kategori kecil. Gold Medal 2006.

Pokok di atas berusia 5 tahun dibeli dengan Pok Su Dir, Besut, Terengganu bersama Mejar Fazli dari Pulau Pinang. Peringkat awal di tanam menggunakan pasir sungai 100%. Selepas dikahwinkan dengan spesis dari Taiwan, lebih kurang 3 bulan barulah tanah ditukarkan. Nisbah tanah bakar bersih 70% dan pasir sungai bersih 30%. Kesuburan/pembesaran amat mendadak. Tanah ini tidak perlu ditukarkan 2 hingga 3 tahun.


Pembentukan pokok/pembikinan.

1. Pokok yang hendak dibentuk mesti mengikut gerakan alunan pokok (gerak dasar). Dahan utama yang didawaikan mesti lembut (beralaun) diikuti dengan dahan yang kecil. Dahan utama mesti besar, bersesuaian/strong. Variasi setiap dahan dan jarak bersesuain dengan saiz pokok. Setiap dahan canopy jelas. B egitu juga bumbungnya, komposisi dahan-dahan seperti depan, belakang (kiri/kanan) dan bumbung bersesuaian dengan saiz pokok.

2. Pembentukan akar juga penting dan jika perlu akar-akar baru dicantum/tambahkan.


Tambahan akar disebelah kiri.

3. Saiz dahan/ranting. Dahan pertama perlu besar, dahan ke-2 kecil sedikit dan seterusnya. Susunan ranting seboleh-bolehnya kiri/kanan/atas. Begitu juga dengan ranting yang lebih kecil. Ini untuk memudahkan pembentukan canopy. Pokok bonsai perlu ada shape, natural dan bukan berkeping seperti roti canai / landscape di tepi jalan.


Santalia kecil.

4. Apabila pokok sudah siap seperti yang dikehendaki, ianya mesti digunting (pruning) mengikut bentuk yang diingini. Bebuas kecil digunting selalu sekurang-kurangnya 2 atau 3 minggu sekali manakala pokok yang bersaiz sedang atau besar digunting setiap 20 hari atau 1 bulan @ apabila memerlukan supaya bentuk dan pembesaran ranting dapat dikawal dan jari-jari ranting menjadi lebih banyak serta lebih ketuaannya (mature).

Material peringkat awal, 10 tahun lepas.

Bebuas sekarang.

5. Kelemahan/kekuatan setiap pokok mudah dikenal pasti jika penjagaan secara berkala kerap dilakukan.

Material peringkat awal, 10 tahun lepas.

Sebelum di pruning.

Sekarang. (3 tahun tanah tidak ditukarkan)


Penjagaan.

1. Pokok dan Penyiraman (Plant and watering)
Setiap pokok ada masalahnya,jika dikawal selia selalu pembesarannya lebih cepat. Pokok kecil perlu disiram 2/3 kali sehari (watering) bergantung kepada keadaan cuaca : pokok sedang/besar memadai 1-2 kali sehari bergantung kepada cuaca dan saiz pasu. Waktu menyiram paling sesuai 10.00-11.00 pagi & 4.30-5.00 petang. Apabila hujan lebat, pokok tidak perlu disiram. Jika hujan sederhana, pokok perlu disiram. Jangan siram pada waktu malam. Ianya boleh menyebabkan pembiakan kulat, lumut dsb.

2. Tanah
Tanah yang hendak digunakan perlu mesti bersih dan berkualiti. Pokok bersaiz sedang atau besar perlu ditukar 2-3 tahun sekali. Untuk pokok kecil ianya perlu ditukar setahun sekali atau awal mengikut keadaan pokok, perlu atau sebaliknya. Pokok di atas iaitu bebuas kecil dan bebuas besar hampir 3 tahun tidak bertukar tanah.

3. Pembajaan / Meracun
Jika baja yang digunakan sebanyak 1 sudu besar untuk setiap pasu, bererti pembajaan perlu diulangi setiap 2 minggu. Diikuti dengan racun serangga selepas 2 hari pembajaan dilakukan. Penggunaan baja seboleh-bolehnya di bawah 12 NPK. Jika melebihi 12 NPK adalah untuk pokok buah-buahan. Racun yang selalu digunakan ialah M45, dicampur dengan 15% racun serangga biasa (cecair) dan 15% sulfur yg digunakan untuk sapuan pada jin/shari. Sewaktu meracun, pastikan racun meresap kedalam perdu setiap pokok. Untuk meracun pokok kayu hitam, terutamanya tumpukan pada waktu daun muda kerana fungus menyerang dibahagian bawah daun (tumpukan bahagian ini). Selain daripada cara ini, daun secara keseluruhannya dibuang dan daun tersebut dibakar untuk mengelakkan jangkitan.

Jika keadaan pokok masih sihat, ianya tidak perlu diracunkan (Lihat keadaan pokok) Pokok bebuas lasak dengan penyakit . Pastikan daun kering tidak terlekat/berkumpul pada ranting-ranting dan menyebabkan serangga/ulat mengganggu pertumbuhan pucuk baru. Ketika ini pokok perlu diracun dan daun kering/tua mesti di buang selalu.

Jangan terlalu banyak menyimpan lumut pada permukaan pasu dan akar. Ini memudahkan fungus membiak serta pengedaran udara tidak seimbang dan jangan terlalu banyak perhiasan.

Jangan susunkan pokok terlalu dekat di antara satu sama lain.


Penyelenggaraan.

Penyelenggaraan bonsai perlu diberi keutamaan pada pokok yang berkualiti dan ada potensi untuk diketengahkan. Ianya perlu dikawal selia secara berkala. (Buku log seboleh-bolehnya disediakan) Meliputi:

1. Pendawaian
-Ikut prosedur yang betul- ke kiri/ke kanan atau sebaliknya dan jangan kena mata tunas.
-Gunakan saiz dawai bersesuaian apabila dibentuk, tidak mudah berganjak.
-Bantuan peralatan sokongan dahan @ jack,ikatan dawai dari pasu dsb.
-Screw juga boleh digunakan bagi membentuk dahan (Wrigthia R/Santalia) Lihat gambar dibawah.
-gantung batu bata dan sebagainya.

*Apabila dawai digigit oleh kulit pokok, bolehlah dibuang. Jika tidak yakin balas sekali lagi pendawaian ditempat tersebut.

Santalia sedang, style Sow Yet, Kluang Johor.(Pokok ini telah dijual atas permintaan tinggi)


2. Saiz dahan bersesuaian besar dengan batang utama potongkan dan simpan dahan baru dan seterusnya. Pembentukkan ranting juga dibentuk bersesuain dengan patent pokok. Katakan sepohon pokok bonsai telah sempurna:

Santalia sedang.

2.1 Waktu ini kita perlu imbangi kedudukan pokok (balance). Sepohon pokok yang indah tidak kira apa jenis bentuknya dan pembentukkan ini mesti mengikut gerak dasar alunan pokok, susur galur variasi dahan dan rantingnya apabila dilihat semuanya nampak dengan jelas dari depan. Dahan jangan bersilang.

Kayu Hitam dibuang daun. 3 tahun tanah tidak ditukarkan, tetapi tanah masih sesuai.


2.2 Elakkan pembentukkan pokok seperti tudung saji, satu dahan pun tidak nampak. Penyusunan dahan, ranting, daun perlu ada kekosongan supaya pokok lebih segar menerima cahaya matahari/pemakanan (fotosintesis).

Santalia besar (hampir siap).


Mengikut pengucapan orang Greek dan Latin setiap kesenian yang dicipta skopnya tidak terbatas, bentuk yang bermakna, imbangan terhadap struktur, logic, kemurniaan gaya/style, rangka dasar yang hebat, tidak berlebihan, imitasi nature, tidak berlebihan dengan pengertian yang bijak berdasarkan keindahan alam semulajadi.

2.3 Pembentukan pokok alam maya atau pokok dalam taman seperti pokok santalia, Brazilian rain tree, berbeza jika di bandingkan dengan pokok pulau (alam rosak). Pokok dalam taman kecatikkannya berdasarkan mainan variasi dahan, daun, batang, kulit, bunga dsb. Pokok pulau mungkin diganggu oleh malapetaka alam seperti ribut taufan, kemarau melampau, tsunami dsb. Pokok ini terutama yang tua kaya dengan jin/shari. Dahan yang diperlukan tidak terlalu banyak. Pembentukan pokok ini, jin/shari ditonjolkan bersama bengkakkan kulit bagi laluan air/makanan.

Sepohon pokok yang jelas kelihatan keseluruhan dahannya.


3. Persoalan-persoalan yang perlu ada dalam fikiran kita:

-Pokok yang siap perlu ditukar kepada pasu yang bersesuaian bagi mendidik pokok tersebut.
-Tahu masalah pokok: Pembajaan, keperluan air dan serangan penyakit.
-Daun perlu dibuang 3-4 bulan, 8 bulan/setahun sekali untuk memudahkan pembersihan pokok dengan menggunakan water jet. Kalau tidak ranting mudah patah. Keseluruhan pokok bersih dan pertumbuhan ranting dan daun lebih menggalakkan. Menggunakan berus amat meletihkan (boleh). Proses membuang daun pokok bebuas besar kadang-kadang memakan masa 3 hari untuk disiap dan amat mencengkam mata. Kenapa? Nak cantik……..
-Kedudukan akar perlu disesuaikan setiap masa. Seboleh-bolehnya akar dapat dilihat dipermukaan tanah.
-Jin/shari selepas ditembak dengan water jet apabila kering perlu disapukan dengan sulfur. Lebih tahan /cantik/unik/terserlah.
-Seterusnya ranting digunting sesuai dengan bentuk pokok dan tunas baru akan keluar. Jangan tersalah sentuh pasti patah (rapuh)
-Pokok matang seboleh-bolehnya beralaskan roller dan dipusingkan selalu mengikut cahaya matahari supaya daun/rating seimbang/harmoni dan matang.
-Jika kita kreatif, pembentukan dan pembuatan bonsai tersebut tidak berakhir. Bentuk-bentuk bonsai boleh diubah suai dan centrenya boleh ditukarkan. Jin/shari juga boleh ditukar bentuk. Dengan erti kata pembentukkan bonsai tidak berkesudahan. Begitu juga pengalaman/ilmu bergerak seiringan. Bentuk pasu juga akan berubah rupa, saiz atau warna bagi menambah dignity, value, elegant/bergaya.
-Pengalas pokok/tiang mesti kukuh dan tidak mudah patah bagi menghadapi risiko/keselamatan pokok.
-Penggunaan peralatan yang bersih/tajam, tidak merosakkan pokok.
-Apabila pokok kita matang, pastikan keseluruhan perkembangan pokok bonsai dikawal dengan sempurna dari akar, batang, dahan ke ranting, dahan canopy dan bumbungnya. Dalam erti kata lain kawalan kiri, kanan dan belakang pokok. Meliputi penjagaan jin/shari.


Material peringkat awal, lebih kurang 9 tahun lepas.

Gambar terkini.

*Tambahan:

Penjagaan Pokok Limau Hutan

1. Penjagaannya sama seperti lain-lain pokok.

2. Buang daun kebiasaannya 2 kali setahun.

3. Selepas daunnya dibuang, durinya mesti diguntingkan dan dibersihkan dengan berus atau water jet. Dahan yang tidak penting dipotong dan diikat dawai untuk pembentukkan.

4. Sewaktu daun muda tumbuh, pastikan diracun selalu, kalau tidak kupu-kupu suka bertelur dan ulat memakan daun muda dan menyebabkan pertumbuhannya terbantut.

5. Baja/air mesti cukup selalu. Elakkan fungus/serangga. Jika pokok limau terbantut, ianya sukar untuk dipulihkan.

6. Daun dibuang sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum ke pertandingan kerana pertumbuhan daun tidak seimbang, tidak seperti pokok santalia.

7. Keistimewaan pokok ini adalah seperti kulitnya, daun, bunga dan buahnya.

8. Pokok di atas di bawah jagaan saya lebih kurang 12 tahun.


Inilah penerangan serba ringkas dan jika mahu lebih detail harap datang ke rumah. Di atas kelewatan dan kekurangan penerangan dan bahasa harap maaf.

~Kepuasan terletak pada usaha, bukan pada hasil. Berusaha keras merupakan kemenangan hakiki ~ Mathma Gandhi

4 comments:

orangtuabarubelajar said...

Salam Tuan Haji...

Terima kasih kepada SM atas persoalan yang anda kemukan....

Terima Kasih Tuan Haji....

Keterangan yang telah Tuan Haji berikan berhubung persoalan yang dikemukan oleh SM ,amat besar dan tingginya nilainya buat saya.
Ilmu yang Tuan Haji curahkan kepada peminat2 bonsai sekalian muga2 dirahmati Allah hendaknya, Amin....

Tuan Haji!

1. Berkenaan pokok bebuas, boleh Tuan Haji terangkan dimanakah pokok ini boleh ditemui dalam habitat semulajadinya di Semenanjung Malaysia (khususnya di Pantai Barat)

2. Merujuk gambar 10 (material peringkat awal 10 tahun),
Apakah training pot bagi material tersebut hanya sebesar itu saja yang digunakan selama ini (10 tahun)?

3. Bagi training pot untuk semua jenis pokok yang ingin dibonsaikan ,apakah formula campuran tanah yang paling tepat dan sesuai untuk digunakan bagi mempercepatkan proses pembesaran dan pertumbuhan dahan/ranting2 baru?

Noryadi said...

Ayahanda Hj Halim,

Penghargaan dari saya buat ayahanda dgn penerangan yg mencakupi hampir semua aspek pembikinan dan penjagaan bonsai.

Ini adalah ilmu sebenar.

Mat Yie said...

Tahniah dan terima kasih buat Abang Halim Yang sudi meluangkan masa melayan peminat dan pengemar bonsai.
Semoga dengan tunjuk ajar A Halim bonsai melayu akan bertambah maju hendaknya. Terima kasih

Unknown said...

Nak cari bonsai kayu hitam,ada tak?tq